19 October 2008

.:Bila Hati Gelisah:.




Bila hati gelisah
Tak tenang, tak tenteram
Bila hatimu goyah
Terluka, merana

Jauhkah hati ini?
Dari Tuhan, dari Allah
Hilangkah dalam hati? 
Zikirku, imanku

Hanya dengan Allah
Hatimu akan menjadi tenang
Dengan mengingat Allah
Hilanglah semua kegelisahan

Cukuplah hanya Allah
Hati bergantung dan berserah diri..

10 October 2008

Penantian Itu Memang Menyeksakan!!

Setelah 3 bulan(lebih kurang, aku rasa 2 bulan lebih) bertungkus lumus menyiapkan Projek Bersepadu "PowerTrain System", akhirnya tibalah masa untuk proses pembentangan. Proses akhir dalam setiap projek yang diberikan kepada kami, juga merupakan tahap yang digeruni oleh para pelajar. Mengapa? Kerana perlu menghadapi soalan-soalan maut dan kritikan membunuh daripada para pensyarah yang hebat-hebat.

Wajah-wajah 'tenang' menunggu saat di'bunuh'.


Mengapa dinamakan Projek Bersepadu? Untuk menyiapkan projek ini, terdapat analisis yang perlu dijalankan merangkumi 3 subjek utama iaitu Sistem Dinamik, Termodinamik Kejuruteraan & Rekabentuk Komponen Mesin. Pengajaran & pembelajaran dalam 3 subjek tersebut hanya memberikan pengenalan awal tentang analisis keseluruhan projek dan selebihnya perlulah dicari sendiri.

Setiap kumpulan mempunyai 5 ahli. Aku telah ditugaskan membuat analisis untuk Termodinamik bersendirian. Mungkin kerana bahagian ini mudah(diorang cakap). 2 minggu awal, aku 'blur'. Tak tahu hendak mula dari mana, apa yang perlu dianalisis, apa yang sepatutnya ada dalam laporan projek. Masuk minggu ke-3, aku jumpa dengan Dr Taib(pensyarah Termodinamik). Terima kasih atas penerangan beliau, aku dah dapat idea untuk analisis Termodinamik.

Buku yang aku gunakan untuk analisis termodinamik


Penemuan yang aku dapati daripada First Law Analysis amat memeranjatkan!! Rupa-rupanya hanya 30% sahaja tenaga yang dijana daripada pembakaran bahan api dalam enjin yang disalurkan kepada kereta. Dan selebihnya hilang kepada persekitaran, geseran komponen (piston & silinder) & beban penyejukan (cooland load). Bayangkan apa yang akan terjadi jika 100% tenaga dari bahan api dapat disalurkan kepada kereta? Bermakna penggunaan bahan api akan turun 3 kali ganda. Hebat!! Tetapi ini tak mungkin terjadi kerana tenaga yang hilang dalam bentuk haba amat penting untuk enjin agar komponen dalam enjin tidak mengalami kegagalan (failure). Daripada anlisis juga, aku dapati suhu tertinggi yang dapat dihasilkan oleh bahan api (dalam analisis, kami guna isooctane@gasoline) ialah setinggi 2730K dan pada suhu ini komponen akan gagal. Oleh kerana itu, sistem penyejukan amat penting.

Tepat jam 11.15, kami masuk ke dalam bilik pembentangan. Terdapat 4 pensyarah dan seorang jurukamera yang sedia menanti sejak 9.00 pagi lagi masih setia dalam bilik tersebut. Sebelum kami, 4 kumpulan telah 'maut'. Dan daripada pengalaman mereka, getaran di hati kami semakin tinggi frekuensinya. Mungkin jika resonans terhasil, boleh runtuh bangunan fakulti. Kami diberi masa 15 minit untuk pembentangan dan 15 minit untuk sesi soal jawab. Aku diberi masa 3 minit bagi analisis termodinamik. Ku lihat Prof Nik terangguk-angguk ketika aku membentangkan analisisku, keyakinan aku semakin bertambah ketika itu. (^_^) Ketika sesi soal jawab, soalan pertama yang diberi kepadaku ialah............."What is your PNGK?". Terkedu aku seketika, "Soalan terpelik abad ini", aku bermonolog dalam fikiranku. Jam 11.45 kami keluar dari bilik tersebut dengan perasaan lega. Alhamdulillah, segalanya telah selesai dan komen-komen yang diberi oleh pensyarah amatlah membina.

Kami berlari ke cafe untuk mengisi perut kerana jam 12.00 ada kelas lagi...

06 October 2008

Hati Yang Tak Sedap

Lunch tadi aku makan hati ayam. Aku memang tak suka makan hati ayam, tapi takkan nak suruh perut aku menjerit kelaparan pula. Apa yang ada kat cafe tu, aku terpaksa juga makan. Untuk mengisi perut yang sentiasa kelaparan.

Tapi bukan itu yang aku nak ceritakan. Sejak Hari Raya ke-2, aku rasa gelisah, tak senang duduk. Orang Melayu cakap " tak sedap hati", rasa macam nak balik cepat-cepat ke Perbukitan Ilmu. Aku pun tak tahu kenapa,mengapa. Mula-mula aku fikir mungkin sebab aku tinggal motor aku kat Perbukitan Ilmu, khuatir motor aku hilang. Hari Raya ke-3, aku selamat sampai ke Perbukitan Ilmu, Alhamdulillah motor aku masih selamat.

Tapi...rasa tak sedap hati masih lagi merantai hati aku...

Lepas tu, aku fikir mungkin sebab terlalu banyak assignment & presentation yang perlu aku siapkan. Bila fikir-fikir balik, rasa macam bukan pula..

Ntah la, aku pun tak tau kenapa, mengapa. Dah baca Quran pun masih lagi rasa tak sedap hati tu ada lagi. Mungkin ada sesuatu yang malang akan menimpa aku ( minta dijauhkan Ya Allah..)

Mungkin, aku banyak dosa dengan Tuhan agaknya..

Dan, rasa itu masih lagi merantai aku..

Entri Pertama


Dimulakan dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Aku minat membaca blog yang ditulis dengan ayat yang lengkap, walaupun tatabahasanya tidak tepat. Bukan blog-blog yang ditulis dengan ayat sms, terasa perbezaan yang ketara. Selain sedap mata memandang, mudah dibaca, juga menambahkan minat pembaca. Pemilihan ayat & perkataan yang baik memainkan peranan yang penting. Saifulislam.com berjaya dari sudut ini. Salah satu sebab mengapa semangat untuk membina blog ini tercetus adalah lenggok bahasa yang digunakan dandeLinoid agak lain dari yang lain. Itu yang akan aku pelajari dari saudara Adib(kalau dia tak lekok.hehe..).

Blog-blog yang memperihalkan kehidupan manusia, kembara, pengalaman hidup lebih aku gemari berbanding blog-blog politik dan cetusan pendapat. Apabila membaca blog-blog pengalaman hidup seseorang, seolah-olah aku yang melalui pengalaman tersebut.

Apasekalipun, aku harap aku akan dapat teruskan blog ini dengan baik. Aku tak harap orang lain baca blog aku, sebab aku nak jadikan blog ni macam diari aku. So, kalau orang yang aku kenal, aku kutuk dalam blog ni pun tak de hal. Komen-komen membina amatlah diharapkan.

Wassalam..


Al-Quran

Sahih Muslim